Wednesday 14 May 2014

Mengingati Mei 69 by Dato' Abdul Rahman Mohd Noor

A little slice of our real history as told by a Retired Civil Servant , written through his eyes as a young first year University Malaya student who was in Kuala Lumpur during the 13 May tragedy, a period in our nation's history so horrifying so traumatic that even 45 years later its scars had not healed as well as it should. 

Come join me to read this experience that Dato' Abdul Rahman for the first time, wanted to share with all Malaysians, perhaps we all could learn a thing or two for the future from what Dato' has written. 

Malaysia is big enough for all of us as long as we are willing to work hard for its harmony, unity and prosperity, never give in to the extremists among us who promises nothing but despair and disunity. 

Jemput membaca:

MENGINGATI MEI 69


Kami perlu berterima kasih kepada pakcik pemandu Bas Sri Jaya kerana bertegas menyuruh kami beredar dari Lebuh Foch (Foch Avenue). Keputusan kami untuk menerima nasihat tersebut mungkin telah menyelamatkan 
kami.

Pada hari tersebut, Dato Harun Salim (bekas GM PKNS) dan saya telah bercadang untuk menyaksikan filem jam 03:15 petang di pawagam Jalan Petaling setelah selesai mendaftarkan diri untuk mengikiuti pengajian di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

Saya telah di hantar pulang ke rumah di No. 24, Jalan Watson (sekarang Jalan Hj Yahya) dan Dato Harun telah pulang ke rumahnya (kuarters kerajaan) di Jalan Peel (daerah Bukit Bintang).

Setelah di herdik dan di hina terutama sekali selepas pilihanraya oleh kaum cina dan india daripada parti-parti DAP, Socialis dan Gerakan,  Bangsa Melayu daripada UMNO telah membuat keputusan untuk mengadakan perarakan balas pada sebelah petang. Beberapa buah kereta dengan pembesar suara telah mengelilingi kawasan Kampung Baru,  untuk menjemput kaum lelaki mengambil bahagian dan berkumpul di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor yang kurang daripada 100 meter daripada kediaman rumah saya. Kaum wanita dan anak-anak telah dinasihatkan supaya jangan keluar rumah untuk menjaga keselamatan mereka. Setakat jam 5 petang, sudah kelihatan tidak  lebih 300 orang berkumpul dengan keadaan yang penuh bersemangat.

Namun sebelum perarakan dapat dimulakan, pergaduhan telah tercetus di kawasan Chow Kit di mana dua yang tercedera parah telah di bawa ke kediaman rasmi Menteri Besar. Maka bermulalah insiden 13 Mei yang saya yakin tidak di rancang kerana perasaan marah peserta yang hadir telah tidak dapat di kawal lagi dan Jalan Raja Muda telah menjadi medan bangsa melayu melepaskan geram. 

Inilah pertama kali saya melihat sendiri kesan dan akibat amukan bangsa melayu yang diharapkan tidak akan berulang lagi. Banyak kenderaan telah di terbalikkan  dan di bakar serta penghuninya yang saya percaya tidak berdosa di bunuh. Beberapa orang yang cedera parah dan mengerang meminta pertolongan terdampar di  dalam longkang tepi jalan hingga keesokan harinya tanpa saya ketahui nasib mereka kerana perintah berkurung (curfew) telah diistiharkan lewat petang. 

Pengalaman saya sepanjang bulan Mei ketika itu telah banyak mempengaruhi ‘World Outlook’saya. Namun sikap dan pandangan saya yang ‘extreme’ banyak perlu penilaian semula setelah melalui pendedahan kepada pengalaman hidup yang lebih seimbang.

Dalam keadaan tidak menentu serta rusuhan yang tidak dapat di kawal, semua pihak sungguhpun tidak berdosa dan bersalah akan menerima padahnya. Saya sendiri telah menyaksikan trauma yang di alami terutama oleh kanak-kanak dan kaum wanita yang tinggal di sepanjang Jalan Raja Muda. Beberapa anak gadis telah di serang histeria yang terpaksa di pulihkan oleh arwah ayah saya yang pada ketika itu tinggal bersama-sama kami kerana telah ditukarkan sementara daripada Kuala Terengganu dan di tempatkan di Ibu Pejabat Jabatan Penerangan bagi memastikan beliau tidak mempengaruhi penduduk-penduduk kampung yang sebenarnya sudahpun condong kepada PAS.

Kami juga telah mengalami trauma kerana adik saya Abd Muttalib yang sedang mengikuti pengajian diploma Kejuruteraan di UTM hanya kembali ke rumah setalah dua hari terkandas di kawasan Jalan Padang Tembak (Jalan Gurney).

Terdapat juga beberapa orang cina yang berjaya di lindungi oleh penduduk Kampung Baru untuk beberapa hari sehingga keadaan membolehkan mereka pulang dengan selamat. 

Abang saya Tn. Hj Osman dan saya telah cuba mendapatkan bekalan daripada kedai runcit di kawasan Kampung Baru tetapi hanya berjaya membeli ½ kati kepala ikan bilis kerana semua bahan makanan telah habis dijual. Ini dapat kami lakukan dalam keadaan perintah berkurung setelah pasukan “Sarawak Rangers” yang di tugaskan di ganti dengan Regimen Askar Melayu DiRaja yang telah di arah untuk membenarkan penduduk bergerak bebas dalam kawasan Kampung Baru. 

Terdapat beberapa kumpulan daripada luar kawasan telah menawarkan perkhidmatan melindungi diri. Dengan bayaran RM 5 dan dengan keyakinan diri pelanggan boleh menjadi ‘kebal’, setelah menjalani ‘ritual’ di mana kedua tangan mereka akan di celup ke dalam kuali yang berisi minyak panas dan badan di tetak di bahagian perut, belakang dan lengan dengan parang tajam.

Perniaga-peniaga barangan runcit dan segar seperti ikan dan sayuran tumbuh seperti cendawan tetapi ianya hanya dapat bertahan selama 3 hingga 4 bulan sahaja kerana mereka gagal mengekalkan kesegaran barang jualan dan pembeli telah mula melanggani semula pasar Chow Kit yang di usahakan oleh kaum cina pada ketika itu.

Dato Harun Salim telah menceritakan bahawa pada hari tersebut, rumah kediamannya di Jalan Peel telah di pecah masuk dan barang berharga telah di curi. Namun setelah mendapat kata dua dan amaran daripada arwah bapanya yang juga merupakan pegawai rendah sukarela KD Sri Kelang dan dengan berbekalkan senjata serta diiringi dengan kereta perisai (ferret car) hampir semua barangan tersebut telah dikembalikan. Daripada kejadian ini saya dapat simpulkan bahawa kaum cina ketika itu mempunyai cara menguruskan hal ehwal tersendiri. Sungguhpun mereka tiada minat untuk memanjangkan konfrantasi dengan bangsa melayu tetapi mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk mempertahankan kaum mereka. Inilah juga apa yang terjadi di kawasan Chow Kit kerana mereka telah bersedia dengan segala jenis senjata dan cara mereka mempertahankan diri dan kawasan amat tersusun.

Keputusan untuk mengistiharkan perintah berkurung (curfew) amat tepat sekali bagi mengelakkan pertempuran dan pertumpahan darah yang berpanjangan. 

Setelah di caci dan di hina, peristiwa bulan Mei tersebut telah mengembalikan maruah dan harga  diri bangsa melayu terutama sekali di kawasan Kampung Baru. Semangat perpaduan di kalangan orang-orang melayu amat tinggi sekali pada ketika itu.

Alangkah eloknya jika pemimpin melayu ketika itu mengambil kesempatan dan berjaya untuk mula memperkenalkan konsep Perpaduan Nasional dengan mewujudkan  semangat patriotisma (Cinta Kepada Negara) yang tulen berteraskan dan berlandaskan kepada kebudayaan dan adat resam nenek moyang kita.

Saya berani mengatakan bahawa apa juga ‘strategi dan  program yang hendak  dilaksanakan untuk mencapai perpaduan nasional beracuankan kepada kehendak kaum terbanyak lebih mudah di terima 45 tahun dahulu jika dibandingkan sekarang, oleh kerana sudah wujud jurang perbezaan yang amat sukar di sepakati. 

InsyaAllah kita akan dapat mengwujudkan perpaduan nasional di hari mendatang. Namun ia akan memakan masa yang lama dan corak serta bentuknya akan dipengaruhi oleh kesepakatan (concensus) yang akan digunakan sebagai batu asas (foundation) kelak.

Saya berdoa agar satu hari nanti semua rakyat akan dengan senada dan seirama melaungkan slogan “Malaysia Ku” (My Malaysia) tanpa ragu-ragu.

Wallahhualam.


ARMNOOR


Dato' Abdul Rahman Mohd Noor retired as a TKSU MOT and even 10 years after his retirement still lives a wholesome and active life still contributing to our nation in his own special way.

No comments: